PENDIDIKAN ANAK-ANAK-OLEH : IMAM AL-GHAZALI

Imam Al-Ghazali mengistilahkan pendidikan anak-anak dengan istilah ‘Riadhatus Sibyan’. Beliau telah menyatakan peri pentingnya para ibu bapa memberikan pendidikan kepada anak-anak mereka untuk memastikan mereka membesar sebagai seorang muslim dan mukmin yang benar-benar memahami tugas dan tanggungjawab mereka terhadap agama, diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Sehubungan dengan itu, ibu bapa diminta supaya menitik beratkan perkara-perkara berikut;

  1. Didik dan latih mereka supaya beradab dengan ibu bapa , guru dan orang yang lebih tua dari mereka. Di samping itu latihlah mereka supaya berbakti kepada mereka semua.

  1. Wajib mendidik anak-anak melakukan ibadah, terutama solat dan puasa dan latih mereka supaya berakhlaq dengan akhlaq yang mulia serta mencegah pergaulan dengan teman-teman yang buruk akhlak dan budipekertinya.

  1. Jangan biarkan mereka terpengaruh dengan kehidupan yang mewah dan senang-lenang, serta barangan-barangan yang mewah dan berharga tinggi, kerana dikhuatiri mereka tidak akan biasa dengan ujian kehidupan di masa akan datang dan mengutamakan kehidupan mewah yang akan menghancurkan hidupnya. Latihlah mereka hidup dalkam keadaan sederhana dan sentiasa menghargai nikmat yang Allah berikan, walaupun sedikit.

  1. Jika anak-anak sudah mampu membezakan antara yang baik dan buruk dan wujudnya perasaan malu dalam diri mereka, maka bantulah mereka untuk membina akhlaq mulia dan telah wujud tersebut.

  1. Jika kita melihat wujudnya sifat rakus di kalnagan mereka, seperti sewaktu makan dan minum, maka didiklah mereka supaya beradab semasa makan, terutama membaca ‘basmalah’ sebelum makan dan paksa mereka menggunakan tangan kanan dan mengambil makanan yang terdekat dengan mereka terlebih dahulu. Latih mereka supaya jangan makan terlebih dahulu sebelum anak-anak lain duduk bersama untuk makan. Latih mereka supaya tidak terlalu banyak melihat kepada makanan dan merenung orang yang sedang makan. Latih juga mereka supaya makan dengan tenang supaya tidak mengotorkan pakaian mereka dan biasakan mereka makan roti tanpa kuah, supaya mereka mengerti bahawa tidak semua masa mereka dapat makan dengan persiapan yang sempurna dan lengkap. Larang mereka dari makan terlalu banyak dan puji mereka sekiranya mereka makan secara sederhana dan berpada dengan apa yang disediakan.

  1. Biasakan mereka memakai pakaian yang menutp aurat dan pakaian yang agak longgar. Kalau boleh biasakan anak lelaki memakai pakaian berwarna putih.

  1. Elakkan diri mereka dari terlalu kerap berkawan dengan teman yang biasa hidup dalam kemewahan dan memakai pakaian yang mewah, termasuk dengan teman-teman yang suka bercerita tentang perkara-perkara tersebut.

  1. Jika kita melihat anak-anak melakukan pekerjaan yang terpuji, segeralah memuji dan memberikan penghargaan terhadap perbuatan tersebut, samada dengan kata-kata pujian dan sanjungan atau melalui pemberian hadiah, terutama di hadapan rakan-rakan atau orang ramai. Tetapi sekiranya mereka melakukan perbuatan yang tidak baik buat kali yang pertama, berpura-puralah melupakan apa yang dilakukan dan tidak perlu disingkap dan disoal jawab akan perbuatan tersebut dan jangan sekali-kali ingin mengorek rahsia mereka. Namun sekiranya mereka mengulangi perbuatan tersebut, baharulah ditegur secara perseorangan dan tegurlah dengan penuh hikmah sehingga mereka menunjukkan rasa penyesalan di atas apa yang mereka lakukan.

  1. Jangan biasakan anak-anak banyak tidur di siang hari, kerana tabiat ini akan menjadikan dirinya terbiasa dengan sifat malas. Biasakan mereka tidur di tempat yang tidak empuk, supaya mereka terbiasa dengan cara hidup yang sederhana.

  1. Ingatkan anak supaya tidak melakukan satu perbuatan yang tersembunyi dari penglihatan manusia lain, kerana tabiat ini akan menimbulkan kesan yang tidk baik pada dirinya.

  1. Latih mereka supaya memperbanyakkan pergerakan badan, terutama di siang hari, supaya tubuh badan mereka sihat dan cergas, terutama melalui kegiatan sukan dan olahraga.

  1. Jangan biarkan mereka berjalan dalam keadaan menyombong diri dan gaya yang tidak sesuai sebagai seorang yang beriman dengan Allah. Berjalanlah dengan penuh rasa rendah diri tetapi janganlah sampai dipandang manusia sebagai orang yang lemah dan boleh dipermain-mainkan.

  1. Latih mereka supaya tidak berbangga dengan apa sahaja yang mereka dan keluarga mereka miliki, seperti harta, makanan, alat mainan, pakaian, rumah, kenderaan dan sebagainya ketika bersama dengan teman-teman mereka. Sebaliknya latihlah agar mereka bersikap rendah diri dan berkata dengan kata-kata yang baik dan sopan.

  1. Ajar dan didiklah mereka supaya lebih banyak memberi dari meminta, sehingga tertanam dalam pemikiran mereka bahawa pekerjaan sebagai peminta itu adalah rendah dan hina walaupun dia seorang kaya dan akan merupakan kehinaan jika seseorang itu fakir dan miskin.

  1. Larang mereka dari meludah atau membunag hingus di tempat perhimpunan ramai. Di samping itu dilatih supaya tidak menguap di hadapan ramai tanpa adab atau bersikap suka membelakangi orang, terutama ketika bercakap, menyilangkan kaki, meletakkan tangan di dagu, menyandarkan kepala di lengan, sebaliknya ajarlah cara duduk yang penuh dengan adab sopan dan jangan terlau banyak berbicara.

  1. Latih mereka supaya jangan banyak bersumpah samada dalam perkara yang benar atau palsu, agar mereka tidak terbiasa dengan perbuatan tersebut.

  1. Latih mereka supaya bercakap semasa perlu atau sekadar membuat pertanyaan atau memberikan jawapan. Latih mereka menjadi pendengar yang baik dan sekira mereka perlu berbicara dengan orang yang lebih tua, maka lakukan dengan penuh adab dan sopan.

  1. Latih mereka supaya tidak banyak membuat kritikan, mengutuk dan mencaci-maki seseorang.

  1. Latih mereka supaya banyak bersabar sekiranya didenda oleh guru mereka., kerana sifat sabar adalah lambang keberanian dan jangan suka mengadu dan berteriak meminta pertolongan seperti lagaknya seorang pondan.

  1. Izinkanlah mereka untuk bermain dan beriadhah sebaik sahaja pulang ke rumah, selepas waktu persekolahan, asalkan mereka menjaga adab-adab Islam. Supaya dengan itu mereka dapat merehatkan fikiran dan merehatkan tubuh badan. Larangan daripada bermain akan membantutkan kecergasan tubuh badannya dan menyebabkan mereka bosan untuk meneruskan pembelajarannya.

  1. Peringatkan mereka supaya takut dari melakukan perbuatan mencuri, makan makanan yang haram, melakukan khianat, berdusta, melakukan pekerjaan yang hina dan lain-lain lagi, sekiranya kita melihat mereka ada kecenderungan untuk melakukan perkara-perkara tersebut.

Pandangan-pandangan Imam Al-Ghazali mengenai pendidikan anak-anak ini mengandungi banyak kelebihan dan kebaikan. Oleh yang demikian ibu bapa sewajarnya berusaha bersungguh-sungguh untuk mempraktikkannya, terutama ketika mereka masih di usia kanak-kanak, supaya perbuatan baik itu menjadi tabiat atau kebiasaan dalam kehidupan mereka, sehingga akhirnya menjadi budaya hidup mereka ketika dewasa nanti.

Janganlah hendaknya ibu bapa terlalu mengejarkan kesenangan dan kemewahan sehingga lupa memberikan perhatian dan penumpuan kepada pendidikan anak-anak. Ramai ibu bapa yang memberikan alasan, bahawa masa mereka dipenuhkan dengan usaha untuk meningkatkan pendapatan bagi memastikan anak-anak dan hidup keluarga mereka dipenuhi dengan kesenangan dan kemewahan. Namun mereka lupa bahawa kesenangan dan kemewahan semata-mata bukan merupakan jaminan kepada kita untuk memperolehi kebahagian hidup di dunia, tanpa kefahaman dan pegangan agama yang kuat dan kukuh. Ingatlah bahawa bukan kita yang boleh memastikan kebahagiaan hidup seseorang, dengan harta, kesenangan dan kemewahan yang kita curahkan, kerana kebahagiaan yang sebenar datangnya dari Allah untuk mereka yang sentiasa mengingatinya dan mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan segala larangannya.

Sekian wassalam.



from : http://serangga07.multiply.com/journal/item/22

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP