Majlis Khatam Quran, Sumbangan Kepada Anak-anak Yatim dan Iftar Ramadhan 1433 SKB3

Sebentar tadi telah berlangsung majlis Khatam Quran oleh murid-murid SKB3 sempena program Penghayatan Ramadhan 1433H. Program kemudiannya diteruskan dengan majlis penyampaian hadiah sempena program penghayatan Ramadhan,penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dan majlis iftar yang dikendalikan oleh Panitia Agama Islam dan kelab Guru SKB3.

 





Sens Of UPSR Urgency - Gerak Gempur

Program Gerak Gempur dilaksanakan bertujuan melahirkn calon-calon UPSR yang sentiasa bersedia menduduki peperiksaan terutama pada saat-saat akhir.Bagi melaksanakan program ini, soalan-soalan percubaan daripada negeri-negeri lain dijadikan kertas ujian bagi menguji tahap kesiagaan calon.

Calon-calon sedang menduduki set kertas ujian negeri Kelantan. Ujian ini berlangsung pada 13,14 dan 15 Ogos 2012.






Ucapan Takziah Kepada En. Baharuddin b Mohd Kadir PK HEM SKB 3

Takziah

Seluruh Warga SKB3 merakamkan ucapan Takziah kepada

Naib Pengerusi
En. Baharuddin b Mohd Kadir (GPK 11) SKB3
atas kembalinya putri sulung beliau ke rahmatullah pada pagi 13 Ogos 2012 bersamaan 23 Ramadhan 1433.
Semoga roh allahyarham ditempatkan bersama-sama para solihin.
Al-Fatihah.

Pertandingan Blog Pendidikan 2012 Anjuran UPSI

Pertandingan Blog Pendidikan 2012 kini kembali. Pertandingan anjuran Pusat ICT Universiti Pendidikan Sultan Idris ini terbuka kepada sesiapa yang mempunyai blog berunsur pendidikan. Terbahagi kepada 3 kategori iaitu sekolah , ipta/ipts dan terbuka. Sila layari http://ict.upsi.edu.my untuk maklumat lanjut.

PERUTUSAN HARI GURU 2012 - KPM

PERUTUSAN HARI GURU 2012
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
“GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan murid-murid yang dikasihi sekalian,

1.          Semenjak tahun 1972, peranan dan fungsi guru telah diiktiraf begitu signifikan dan diabadikan menerusi ungkapan tema Hari Guru yang diraikan pada 16 Mei setiap tahun. Guru dipandang tinggi sebagai pemangkin pembangunan negara, pembentuk generasi dan menjadi asas kemajuan pendidikan negara di samping memacu kejayaan rakyat. Guru yang melengkapi diri dengan kualiti dan Standard Guru Malaysia diakui mampu menjamin keberhasilan negara, antaranya guru yang inovatif dan kreatif teras kejayaan wawasan, guru berkesan pendidikan cemerlang, guru berkualiti pemangkin kegemilangan dan guru cemerlang negara terbilang.

2.            Pada tahun ini, tema “Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara” telah dipilih sebagai galakan kepada guru menyuburkan inovasi. Tema ini selaras dengan pengisytiharan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia bahawa tahun 2012 merupakan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional. Sehubungan itu, amat wajarlah bagi para pendidik mempersiap diri membudayakan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan aktiviti koakademik serta kokurikulum di dalam dan di luar bilik darjah.

3.            Sebagai golongan profesional yang menjana dan menjuarai perubahan, kita perlu peka dan bersedia memperlengkapi diri menjadi guru yang inovatif. Guru yang inovatif berupaya menjana idea, konsep atau strategi baru yang boleh mempertingkat amalan berkesan dalam menyampaikan ilmu kepada generasi anak didik. Guru yang inovatif juga berkemampuan mencipta kelainan atau modifikasi menggunakan unsur dan sumber sedia ada serta menjelmakannya sebagai elemen sintesis yang memudah dan melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, seorang guru yang inovatif juga mempunyai tahap ketekunan yana tinggi, belajar daripada kesilapan, menyusun dan mengurus idea secara perekodan sistematik serta sentiasa cenderung mendapatkan pengetahuan baharu. Natijah yang akan dihasilkan ialah modal insan yang berpengetahuan dan bermaklumat serta berinovatif dalam mempermajukan teknologi, berkebolehan mencerna dan mengadaptasikan teknologi dan seterusnya berupaya mengembangkan idea-idea.
 
Warga pendidik yang diraikan sekalian,

4.            Kesinambungan sistem pendidikan negara dimanifestasi melalui transformasi yang berbentuk dinamik dan progresif yang akan direalisasikan oleh para guru yang inovatif, proaktif, berdedikasi, dan berdaya saing. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan program bina upaya untuk meningkatkan amalan profesionalisme keguruan bagi menyokong usaha melaksana transformasi pendidikan secara keseluruhan. Objektif Pelan Pembangunan Profesionalisme Pegawai Perkhidmatan Pendidikan secara khususnya bermatlamat melahirkan para pendidik yang berwatak profesional, berkompeten dan berkesanggupan memikul amanah yang lebih besar.

Warga pendidik sekelian,

5.            Pelbagai ganjaran disediakan dan inisiatif direncana oleh pihak kerajaan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin. Keprihatinan kerajaan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha, misalnya melalui pemberian dan penganugerahan kepada warga guru seperti dalam aspek perjawatan dan perkhidmatan. Anugerah dan beberapa penambahbaikan dalam skim perkhidmatan guru menggambarkan keprihatinan kerajaan kita. Sesungguhnya perkara ini diharapkan menjadi sebagai satu inspirasi dan dorongan kepada guru untuk terus memberikan perkhidmatan yang effisyen dan cemerlang dalam dunia pendidikan yang berkembang pesat di samping melengkapkan diri bagi menghadapi cabaran global.

6.            Pihak kerajaan dan kementerian juga amat prihatin dengan beban tugas guru yang semakin bertambah dan rencam. Sehubungan itu, bermula pada tahun 2012, Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru (JKPMIBTG) telah memberikan tumpuan kepada lima fokus utama bagi menangani isu beban tugas guru iaitu menambah baik pelan operasi latihan tahunan untuk mengelakkan pertindihan kursus; menambahkan staf sokongan untuk tugas perkeranian; mengurangkan bilangan jawatankuasa di peringkat sekolah; mengurangkan bilangan ujian/peperiksaan dan meningkatkan penggunaan ICT dalam pengurusan sekolah dan pengajaran dan pembelajaran.

7.            Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini mewakili semua warga pendidik di negara ini untuk menyatakan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak kerajaan yang tidak pernah meminggirkan kebajikan para guru. Keprihatinan berterusan oleh kerajaan ini merupakan suntikan semangat agar warga pendidik terus gigih, inovatif, berdedikasi dan berintegriti dalam menggalas tanggungjawab melahirkan generasi masa depan yang berjati diri, berdaya saing, bertanggungjawab, berpegang teguh kepada ajaran agama serta mengamalkan nilai sejagat.
 
Anak-anak murid yang disayangi sekelian,

8.          Saya yakin bahawa tanggungjawab berat yang digalas oleh para guru di samping tekanan yang dihadapi sedikitpun tidak melunturkan rasa kasih dan sayang kepada anak-anak didik semua. Semua guru yang ada di hadapan murid-murid semua adalah guru penyayang. Kehadiran murid ke sekolah tentulah dengan harapan dan semangat untuk menimba ilmu dan mempertingkat kualiti diri. Setiap murid di mata dan hati seorang guru adalah permata yang mempunyai keistimewaan dan kebolehan tersendiri. Jika digilap dan dikembangkan potensinya nescaya akhirnya mereka dapat menjadi individu dan warganegara yang berdaya saing, berfikiran kreatif dan kritis, berbudi pekerti mulia dan sedar akan kepentingan amalan berterima kasih. Sekiranya ada antara murid-murid yang ditegur oleh guru, janganlah mudah berkecil hati atau merasa diri kurang disayangi. Anggaplah para guru sebagai ibu dan bapa di sekolah yang sentiasa mengambil berat dan menginginkan yang terbaik untuk murid-murid semua.

9.            Akhir kalam, besarlah harapan saya agar warga pendidik yang dikasihi sekalian terus melaksanakan amanah yang diberi penuh dedikasi, bertunjangkan integriti dan berlandaskan etika perkhidmatan. Selaku pencetus, penggerak dan pemegang amanah kepada proses transformasi sistem pendidikan negara, warga pendidik mempunyai kedudukan tersendiri, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Marilah kita teruskan amalan budaya kerja cemerlang, sikap kebertanggungjawaban, istiqamah dan semangat mujahadah setiap daripada kita untuk melakukan yang terbaik demi nusa dan bangsa. Sebagai penutup, ingin saya titipkan mutiara kata Syeikh Muhammad Abduh, seorang tokoh pendidikan di Mesir, “Kemuliaan ialah membangun umat yang telah binasa, membuka selubung kebodohan mereka, memberi peringatan dan petunjuk (hidayah), menuntut hak yang terampas, mengingatkan akan kemuliaan yang hilang, membangun umat dari tidur dan kelalaian mereka, serta menyatukan suara untuk memperbaharui gerak langkah”.

WARGA PENDIDIK YANG DIKASIHI SEKALIAN

TERIMA KASIH CIKGU … “SELAMAT HARI GURU”!

DATO’ SRI ABD GHAFAR BIN MAHMUD
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Perutusan Hari Guru 2012

SKB3 Antara Lokasi Penggambaran Cerekarama Yang Akan Ditayangkan di TV 3

"Aku Mahu Terbang" mengisahkan seorang pelajar kecil yang bercita-cita menjadi seorang pilot.Begitulah tajuk drama yang sedang menjalani penggambaran di SKB 3 ketika ini.Drama tersebut adalah terbitan Neon Interprise.Menurut Pengurus Produksi Penerbitan tersebut,drama itu bakal ditayangkan di TV 3 pada 21 Januari nanti.

Dipaparkan sedikit suasana ketika penggambaran tersebut.















































  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP