Malaysia Masih Ketinggalan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) - PM

Perdana Menteri diberi penerangan oleh pelajar sekolah ketika melawat pameran teknologi yang dikendalikan anak-anak Felda selepas Pelancaran Perkhemahan Bitara STEM Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - Felda di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Trolak dekat Tanjung Malim, semalam. Turut kelihatan Mohd. Isa Abdul Samad. - BERNAMA

TANJUNG MALIM 6 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa Malaysia masih ketinggalan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Perdana Menteri berkata, secara keseluruhannya pelajar-pelajar di negara ini mencatatkan pencapaian yang lebih rendah berbanding kajian-kajian pencapaian sains dan matematik pada peringkat antarabangsa.

Katanya, perkara itu amat serius memandangkan perkembangan dalam STEM berkait rapat dengan daya saing negara pada abad ini.

"Misalnya dalam penaksiran Program Penilaian Murid Antarabangsa (Pisa) 2009 dan 2012, Malaysia berada pada kedudukan sepertiga terbawah dalam kalangan negara yang mengambil bahagian.

"Penaksiran Pisa 2012 turut menyaksikan penaksiran penyelesaian masalah kreatif dalam kalangan pelajar Malaysia adalah pada kedudukan ke-39 daripada 44 negara yang mengambil bahagian.

"Pada penaksiran ujian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMMS) 2011 pula, kedudukan pencapaian matematik pelajar Malaysia adalah pada tangga ke-26 berbanding 42 negara yang mengambil bahagian. Analisis terperinci menunjukkan hampir 38 peratus pelajar berusia 14 tahun di negara ini gagal mencapai skor minimum untuk subjek matematik serta sains," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pelancaran Perkhemahan Bitara STEM Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - Felda di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Trolak dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim; Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali.

Mengulas lanjut, Najib memberitahu, kajian-kajian perbandingan berkenaan telah memberi isyarat bahawa para pelajar di negara ini mempunyai ruang yang lebih banyak lagi dalam mempelajari mata pelajaran STEM.

Katanya, program yang dilancarkan itu bertujuan meningkat serta melonjakkan lagi pencapaian STEM dalam kalangan pelajar dan memilih Felda sebagai titik permulaan.

"Sebagai orang yang rapat dengan Felda, saya bangga kerana anak-anak Felda dapat peluang menyertai program ini. Saya harap menerusi program ini mudah-mudahan dalam kalangan kita ini akan timbul tokoh ilmuan yang hebat, bukan hanya peneroka berjaya sahaja," jelas beliau.

Dalam pada itu, menurut Najib, untuk memperkukuhkan lagi kejayaan program berkenaan, beberapa insentif diambil bagi menggalakkan penyertaan pelajar di Felda.

"Pertamanya ialah menubuhkan Makmal STEM di MRSM Felda sebagai pusat latihan guru-guru STEM, pusat aktiviti STEM kokurikulum pelajar dan galeri sebagai tempat rujukan.

"Keduanya ialah memperluaskan Makmal STEM di setiap wilayah Felda dengan mewujudkan model makmal di sekolah menengah di Felda bermula tahun depan. Ketiga dan paling istimewa ialah menghantar 10 pelajar terbaik yang terpilih dalam kalangan peserta Perkhemahan Bitara STEM untuk menyertai Karnival Antarabangsa STEM di New York," ujar beliau.




Sebahagian pelajar sekolah FELDA yang turut diundang memeriahkan SETEM

Bersedia Menyambut Kehadiran PM di MRSM Trolak

Bersedia untuk berlepas.

 Antara murid tahun 4,5 dan 6 yang akan menyambut kedatangan PM, YAB Dato Sri Najib Tun Razak di MRSM Trolak sebentar nanti.










  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP